Khamis, 16 Ogos 2012

Jumlah kemalangan meningkat


Jumlah kemalangan meningkat
GUA MUSANG - Pendaftaran kenderaan baru sejuta setahun, yang dianggap mendadak mengakibatkan 6,000 nyawa melayang setahun, dengan purata 19 orang terkorban setiap hari kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Berdasarkan statistik, kemalangan jalan raya di seluruh negara meningkat sekali ganda dalam masa 10 tahun daripada 265,175 kes pada 2001 kepada 449,040 kes sehingga 2011.
Timbalan Pengarah Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ahmad Nasir Abdul Ghani berkata, kejadian kemalangan itu menunjukkan peningkatan 60.3 peratus dalam masa 10 tahun, diikuti  kematian akibat kemalangan meningkat sebanyak 17.6 peratus.
Berikutan situasi itu, katanya, negara mengalami kerugian antara RM8 hingga RM9 bilion setahun, akibat kematian dan kecederaan membabitkan pengguna jalan raya.
“Angka itu amat membimbangkan kita, dan kemungkinan meningkat lebih tinggi lagi jika semua pengguna tidak berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya selepas Ops Aidilfitri di Depan Pusat Sivik, di sini, lewat petang kelmarin.
Hadir sama pada Ops Aidilfitri itu Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Kassim dan Pengarah Urusan Akademi Memandu Gua Musang, Che Ameri Che Omar.
Ahmad Nasir berkata, sehingga tahun lalu, jumlah terkumpul kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 21.240 juta berbanding hanya 2,451 kenderaan berdaftar pada 1957.
Beliau berkata, peningkatan kenderaan itu harus dijadikan panduan dan ingatan kepada semua pengguna jalan raya di negara ini untuk mengambil langkah yang lebih berwaspada semasa memandu.
“Musim perayaan merupakan tempoh di mana kadar kemalangan jalan raya akan meningkat, sebagaimana Ops Sikap ke-22 sempena Aidilfitri 2010 membabitkan 16,817 kemalangan berlaku.
“Keadaan itu meningkat lagi kepada 19,606 kes kemalangan tahun lalu, dengan purata kematian 19 orang sepanjang tempoh 14 hari kita menyambut Aidilfitri,” katanya.
Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang terbesar kepada bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya, di mana pada 2010 sahaja daripada 6,872 kematian, dan seramai 4,036 orang membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan ikut peraturan yang ditetapkan sempena musim perayaan ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...