Ek Kian menunjukkan salinan resit bank selepas terpedaya dengan panggilan ‘pegawai polis’ berkenaan. |
ALOR GAJAH - Seorang peniaga kerugian RM10,000 apabila ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman, Sabtu lalu.
Mangsa, Lee Ek Kian, 47, hampir kerugian RM36,000 dengan permulaan permintaan pegawai polis yang menggelarkan dirinya Inspektor Leong sebanyak RM13,000 disusuli RM23,000.
Bagaimanapun, RM3,000 dari RM10,000 berjaya disekat dari terus masuk ke akaun ‘pegawai polis’ berkenaan. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa yang berada di rumah ketika itu dihubungi seorang pegawai polis yang memaklumkan namanya
disenaraihitamkan oleh sebuah bank di Hong Kong kerana terdapat dua lelaki menggunakan akaun wang atas namanya.
Ek Kian yang tinggal di Tampin, Negeri Sembilan walau bagaimanapun terkejut setelah mendapat nombor yang menghubunginya itu merujuk dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.
"Kemudiannya 'Inspektor Cheong meminta saya memasukkan RM23,000 ke dalam akaun lain yang diberikan olehnya dan dalam masa sama saya diminta tidak mematikan telefon," katanya, semalam.
Walau bagaimanapun, Ek Kian sempat menyelamatkan RM23,000 lagi wang simpanan pelajaran anak-anaknya.
Katanya, selepas keluar dari bank dia rasa tidak sedap hati dan kemudian pergi ke Balai Polis Tampin untuk meminta pengesahan berhubung kejadian sebelum menyedari dirinya tertipu.
“Semasa berada di balai polis, lelaki berkenaan masih terus menghubungi dan mengarahkan saya memasukkan wang selebihnya namun saya difahamkan berlaku penipuan di situ.
“Kerana bimbang saya datang semula ke bank tadi dan minta kerjasama bank berkenaan menyekat wang RM13,000 yang baru dikreditkan, namun yang tinggal hanya RM3,000 sahaja.
“Malangnya wang RM10,000 dah lesap, cuma saya bernasib baik wang dalam poket saya berjumlah RM23,000 masih selamat,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang membuat laporan polis di Balai Polis Tampin berharap orang ramai tidak terpedaya dengan panggilan telefon orang tidak dikenali dengan mengkreditkan wang ke dalam akaun mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin ketika ditemui mengesahkan laporan dan berkata kes di siasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.