Khamis, 16 Ogos 2012

BAFIA gagal bendung kebocoran


KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kebocoran maklumat peribadi daripada institusi kewangan negara sebenarnya berlaku setiap hari tanpa disedari oleh rakyat melalui pelbagai cara.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, ia berlaku disebabkan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) hanya berfungsi sebagai slogan kerana tahap penguatkuasaannya daripada pihak berkuasa terlalu rendah.

Tegas beliau, jika benar BAFIA berfungsi, bagaimana ramai sering mendapat panggilan daripada pelbagai agensi jualan yang menawarkan barangan mereka.

''Sebenarnya isu tersebut bukan sesuatu yang baru di negara ini kerana CASSA sendiri pernah membangkitkan kebocoran maklumat kewangan pelanggan bank sejak lapan tahun lalu namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

''Setelah kebocoran tersebut berlaku melibatkan individu berprofil tinggi, barulah isu ini hangat dibahaskan sedangkan sudah terlalu lama ia menimpa setiap genap lapisan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam reaksi terhadap kenyataan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar baru-baru ini yang menegaskan maklumat sulit atau rahsia pelanggan adalah asas penting dalam hubungan antara pelanggan dengan bank dan ia tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran.

Jacob turut mempersoalkan kewujudan khidmat agensi rujukan kredit, Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) yang secara terang-terang melanggar BAFIA.

''Bagaimana sesebuah organisasi itu dibolehkan menjalankan aktiviti menjual maklumat sulit kewangan kepada puluhan bank di seluruh negara sedangkan BAFIA sendiri bertujuan mengekalkan kerahsiaan maklumat dan dokumen yang berkaitan dengan akaun pengguna.

''Di sini jelas menunjukkan BAFIA perlu diteliti semula bagi memastikan undang-undang yang ada dapat dikuatkuasakan tanpa ada sebarang pengecualian," ujarnya.

Tambah beliau, Bank Negara perlu menjadikan undang-undang berkaitan kerahsiaan maklumat yang digunakan di negara-negara maju seperti di United Kingdom (UK), Australia dan negara Eropah agar masalah kebocoran di Malaysia juga dapat dibendung.

Katanya, di Malaysia, hasil siasatan CASSA mendapati maklumat kewangan dapat dibeli di antara RM15,000 hingga RM30,000.

''Di negara-negara tersebut mereka tidak akan dapat mengakses maklumat sulit kewangan pelanggan melainkan mendapat perintah mahkamah.

''Itulah bukti bahawa tahap kerahsiaan maklumat pelanggan institusi kewangan negara ini sangat mudah diperoleh dan ia memerlukan pelan bertindak yang mantap agar masalah ini dapat diselesaikan," jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...