Khamis, 25 April 2013

Guna tandatangan palsu Sultan


Tengku Fadzilah
KOTA BHARU - Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia semalam tampil membuat laporan polis berhubung pemilik kenderaan yang didakwa menggunakan tandatangan palsu Sultan Kelantan untuk menyokong sebuah parti politik di sini.

Yang Dipertuanya, Tengku Syarifah Fadzillah Puteri berkata, kenderaan jenis Volvo 940 berwarna hijau tersebut didakwa dilihat di depan sebuah kedai buku di kawasan Pasir Putih jam 12 malam kelmarin.

“Kereta tersebut menampal poster wajah dan tandatangan palsu milik sultan Kelantan untuk tujuan mempromosikan atau berkempen kepada salah sebuah parti yang bertanding di sini.

“Perkara itu sangat dikesali dan kami bermohon kepada sesiapa sahaja, jangan sesekali melakukan aktiviti tidak sihat seperti itu terutamanya yang melibatkan sultan atau kerabat diraja Kelantan,” katanya kepada media di Balai Polis Pengkalan Chepa,
semalam.

Menurutnya, perkara tersebut boleh mendatangkan salah faham dan juga pemahaman yang tidak betul kepada masyarakat kerana ianya melibatkan pemerintah tertinggi sesebuah negeri.

Beliau turut berharap agar perkara tersebut diambil tindakan serius oleh pihak-pihak yang sepatutnya supaya ianya dapat dibendung daripada terus berleluasa.

“Kami sudah buat laporan dan kami berharap agar pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat mengesan kenderaan tersebut untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Kedaulatan sultan bukan boleh digunakan seperti itu. Kami sebagai ahli kerabat sangat kesal dengan perkara tersebut dan diharapkan agar ianya tidak akan berlaku lagi selepas ini terutamanya di musim demam pilihan raya ketika ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...