Khamis, 25 April 2013

Kabel rumah pam sering lesap, pesawah terjejas


Kabel rumah pam sering lesap, pesawah terjejas
KAMPUNG MATANG - Pembinaan rumah pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang disediakan kerajaan untuk kemudahan penanam padi sering menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab mencuri kabel.

Difahamkan kecurian kabel di rumah pam itu sudah berlanjutan kira-kira 10 tahun lalu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian selain menimbulkan masalah kepada pesawah terlibat.

Maludin Mohd, 55, berkata, di sebalik masalah menimpa penanam padi itu, dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana turun padang secepat mungkin, sekali gus melakukan kerja-kerja menggantikan kabel baru.

“Rumah pam ini nadi bagi penanam padi di kawasan ini dan ia adalah satu-satunya saliran yang membekalkan air ke kawasan penanaman padi seluas kira-kira 69 hektar ini. Namun, apa yang menyedihkan kemudahan ini sering menjadi sasaran pencuri kabel.

“Bagaimanapun, pihak berkenaan turun padang dan segera menggantikan kabel baru bagi menjamin bekalan air dapat terus disalurkan ke kawasan sawah," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, gara-gara individu tidak bertanggungjawab ini, petani mengalami kerugian akibat jentera membajak yang disewa tidak dapat menjalankan kerja berikutan petak sawah kering-kontang kerana air tidak dapat disalurkan.

Sementara itu, Abd Ghani Mamat, 54, berkata, walaupun harga tembaga dalam kabel berkenaan hanya bernilai puluhan ringgit, namun kecurian kabel di rumah pam itu menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat yang juga calon BN kerusi Dun Telemong berkata, pihaknya sedia maklum mengenainya dan mengakui ia sedikit sebanyak mengganggu proses kelancaran rumah pam itu.

“Walaupun pencuri hanya memotong sebahagian kabel, namun kesannya, keseluruhan kabel yang merentas sungai di sini sebelum dihubungkan ke rumah pam terpaksa diganti dan kerajaan mengalami kerugian besar.

“Difahamkan, sudah tujuh kali kabel di rumah pam ini dipotong pencuri dan setiap kali dibaiki ia perlukan peruntukan kira-kira RM170,000. Memandangkan kejadian ini masih berterusan, langkah terbaik adalah termasuk menempatkan pengawal keselamatan.

“Cadangan ini adalah untuk jangka masa panjang dan tidak mustahil dilaksanakan jika kes masih berlanjutan selepas ini,” katanya ketika turun padang menemui petani yang alami masalah berkenaan, kelmarin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...