Ahad, 12 Ogos 2012

Menyambut Kemerdekaan adalah ‘Hari rakyat bergembira’


SHAH ALAM: “Hari Kemerdekaan untuk rakyat bergembira, jadi jangan jadikannya sebagai isu politik,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengulas mengenai cadangan 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada sambutan merdeka dalam program dinamakan Janji Bersih bagi menuntut janji kerajaan memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Beliau berkata, sambutan merdeka bersangkut paut dengan rakyat berbilang kaum dan tidak sepatutnya dipolitikkan dengan isu sedemikian.

“Saya lihat satu saja, kemerdekaan adalah acara untuk rakyat. Saya menasihatkan pihak tertentu jangan mencampur-adukkan kepentingan lain dengan sambutan kemerdekaan,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat sempena Aidilfitri di Dataran Shah Alam, di sini, semalam.


Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Dr Halim Shafie.

Ismail juga mengingatkan semua orang supaya tahu dan menghormati undang-undang bagi memastikan kesejahteraan Malaysia.

“Apa saja yang kita lakukan sama ada mahu berkumpul, berucap atau memandu kereta, ia tertakluk kepada undang-undang. Jika kita patuhi undang-undang, maka semuanya selamat dan berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai Ops Selamat diperkenalkan menggantikan Ops Sikap, Ismail berkata, operasi itu mengekalkan ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek, termasuk memperkenalkan borang khas kepada orang ramai yang meninggalkan rumah untuk bercuti. “Mereka yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri, boleh gunakan borang maklumat balik kampung yang boleh didapati dalam laman web rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan serahkan kepada balai polis berhampiran.

“Anggota polis akan membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah ditinggalkan sepanjang musim perayaan nanti,” katanya.

Operasi bertema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu bermula Ahad ini hingga 26 Ogos depan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan JPJ bertugas sepanjang operasi kali ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...