Rabu, 10 Oktober 2012

Tujuh Agensi Setuju Wujud SOP Selaras Penguatkuasaan Jalan Raya


KUALA LUMPUR: Tujuh agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bersetuju mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelaras penguatkuasaan peraturan pengangkutan jalan raya bagi mengelak pertindihan kuasa serta kekeliruan awam.
Lima agensi lain ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Perbadanan Putrajaya dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, yang menandatangani perjanjian mewujudkan SOP tersebut bagi pihak PDRM, berkata SOP dikenali sebagai Penyelarasan Penguatkuasaan Agensi-Agensi Penguatkuasaan Pengangkutan Jalan Malaysia itu, antara lain, menggariskan peranan setiap agensi bagi memastikan penguatkuasaan menjadi lebih sistematik dan menyeluruh berlandaskan kehendak perundangan.
"SOP itu juga menetapkan bahawa semua agensi penguatkuasaan jalan akan berfungsi secara kekal dan perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi menyelaras semua operasi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani SOP itu di Bukit Aman pada Selasa.
Beliau berkata PDRM akan bertindak sebagai agensi peneraju dalam setiap operasi bersama manakala agensi penguatkuasaan lain menjadi agensi hos mengikut keperluan yang akan diputuskan dalam mesyuarat berkala.
Katanya, bagi memastikan SOP yang diputuskan susulan Mesyuarat Khas Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam pada 31 Julai lepas itu menepati objektif, pihaknya bersama agensi lain akan mengadakan satu operasi bersepadu dalam masa terdekat bagi menilai keberkesanannya. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...