Rabu, 10 Oktober 2012

Kecurian motosikal kekal tertinggi

Gambar hiasan

MANJUNG - Jenayah kecurian motosikal masih mencatat bilangan tertinggi walaupun rekod indeks jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba memaklumkan, bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 247 kes kecurian motosikal direkodkan berbanding 266 kes dalam tempoh masa sama, tahun lalu.

Beliau berkata, sungguhpun terdapat penurunan dari segi angka, kes kecurian motosikal tetap merupakan antara kes tertinggi dicatatkan berbanding kes-kes kecurian lain.

"Kadangkala kecuaian pemilik motosikal sendiri menjadi faktor jenayah ini berlaku. Oleh itu, kita minta orang ramai lebih peka dan mengambil langkah berhati-hati.

"Orang ramai dinasihatkan tidak meninggalkan motosikal tanpa berkunci atau tidak meninggalkan kunci pada motosikal," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kadar indeks jenayah sekitar Daerah Manjung berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus bagi tempoh Januari hingga September berbanding tahun lalu.

"Kejayaan itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak dan kita akan sentiasa bekerja keras dalam usaha menangani kes jenayah di daerah ini. Orang ramai juga tidak perlu khuatir kerana daerah ini masih selamat untuk dikunjungi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...