IPOH - Bapa kepada seorang wartawan akhbar berbahasa Cina berdepan detik cemas apabila didatangi dua lelaki yang berpura-pura mahu membeli sayur sebelum diugut menggunakan parang dalam satu kejadian di sebuah kebun sayur di Bercham, petang kelmarin.
Dalam insiden jam 4.30 petang itu, Pheong Kui Foo, 57, sedang sibuk menyembur ubat di kebun sayurnya sebelum didatangi dua lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Kedua-dua lelaki itu menaiki motosikal dan memasuki bangsal yang terletak kira-kira 200 meter dari pintu pagar masuk kebunnya.
“Kemudian, mereka meminta saya menjual bayam liar yang tumbuh berhampiran untuk menggantikan kailan.
“Namun, saya berikan mereka secara percuma malah membantu mengutip sayur itu” katanya ketika ditemui di kebunnya, semalam.
Sewaktu sedang sibuk membantu mengutip sayur, tiga rakan wanita Kui Foo datang ke kebun untuk mengajaknya minum petang.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba dua lelaki terbabit bertindak mengeluarkan parang yang disembunyikan dalam jaket .
"Mereka mengugut kami berempat supaya menyerahkan segala barangan berharga sebelum melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.
Ketiga-tiga rakan wanitanya yang juga adik-beradik berusia 52, 54 dan 56 tahun itu kerugian sejumlah wang tunai melebihi RM300, lima buah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting.
“Saya bernasib baik kerana mereka tidak sempat merampas dompet saya kerana secara kebetulan terdapat dua anggota polis meronda di situ terdengar jeritan serta melihat kejadian itu,” katanya.
Tambahnya, dua anggota polis berpakaian preman itu segera membantu menangkap kedua-dua lelaki terbabit namun gagal.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Superintendan Anuar Othman berkata, pihaknya ada menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Tanjung Rambutan namun tiada tangkapan dibuat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang digunakan kedua-dua suspek dipercayai motosikal curi yang dilaporkan hilang di Tambun.
“Kami akan meneruskan usaha menjejaki suspek terbabit dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas cubaan samun,” katanya ketika dihubungi, semalam.