Gambar hiasan |
Warga asing dipercayai terbabit kecurian ATM
KUALA LUMPUR – Kes kecurian mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar Lembah Klang bulan lalu dipercayai membabitkan warga asing berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di mesin terbabit.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, siasatan awal berdasarkan CCTV mendapati kumpulan terbabit bukan dari kalangan warga tempatan.
"Setakat ini belum ada tangkapan, dan siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek,” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Balai Polis Terbuka sempena Hari Polis ke-205 di Balai Polis Jinjang, Sentul di sini hari ini.
Pada 25 Mei lepas, sebuah ATM dilarikan dari sebuah kompleks beli-belah di Balakong dekat sini, dengan nilai RM200,000.
Sehari kemudian, sebuah lagi mesin serupa di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti di Lembah Pantai pula dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM61,000. – BERNAMA