Sabtu, 30 Jun 2012

Pegawai Kanan Polis IPD Temerloh Dituduh Ambil Rasuah RM2,000


KUANTAN - Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputy Superintendent (DSP) telah dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini atas kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh, Sundralingam a/l Rajassundram, 52, yang menghadapi satu pertuduhan  merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Temerloh, Pahang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 23 Mac 2012, jam lebih kurang 5.25 petang, di Restoren Hamza yang beralamat di No.76 Jalan Temerloh Mentakab, telah menerima wang rasuah RM 2000.00 daripada Yow Yock Tai sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Yow Yock Tai dan lima (5) orang pekerjanya yang menjalankan perniagaan urut badan tanpa lesen.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Puan Fathiyah binti Idris, pendakwaan  diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Puan Syafinas binti Shabudin manakala tertuduh tidak diwakili oleh 
peguambela. Tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Hakim menetapkan bon jaminan sebanyak RM4,000.00 dengan seorang penjamin dan perbicaraan kes ditetapkan pada 1 Oktober 2012.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu penjara maksima 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...