Jumaat, 29 Jun 2012

Suami isteri disamun RM30,000 oleh tiga lelaki


Gambar hiasan

KUANTAN - Sepasang suami isteri kerugian kira-kira RM30,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Taman Bahagia Baru, Temerloh dalam kejadian 10.30 pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Md Nor Mansor berkata ketika kejadian, isteri yang berusia 57 tahun itu berada di tingkat bawah rumah manakala suaminya, 58, sedang mandi di tingkat atas.
   
Katanya mangsa tiba-tiba didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang yang meluru masuk ke dalam rumah dan bertindak mengacukan parang ke leher mangsa.
   
"Suami mangsa yang turun ke bawah apabila terdengar bunyi bising turut diacukan parang di lehernya sebelum penyamun itu menggeledah rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Md Nor berkata suspek kemudiannya melarikan diri bersama barang kemas dan
wang tunai RM2,300 yang keseluruhannya berjumlah RM30,000.     Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis berwarna putih.
   
Polis kini, katanya giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta melaporkan di balai polis berhampiran. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...