Khamis, 28 Jun 2012

Polis Terengganu bakal miliki IPK baru


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu bakal memiliki Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) yang baru dengan proses pembinaannya dijangka bermula tahun depan.
   
Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata projek pembinaan IPK di kawasan seluas kira-kira 8.8 hektar di Bukit Besar di sini telah dibincangkan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerajaan negeri.
   
"Ia akan dibina di lokasi baru iaitu di Bukit Besar manakala Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kita akan kekalkan di lokasi asal iaitu di tengah-tengah bandar.
   
"Bagi pembinaan IPK baru dianggarkan kos melebihi RM100 juta manakala bagi IPD pula menelan kos sekitar RM60 juta," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
   
Beliau berkata pembinaan IPK Kuala Terengganu yang baru sebenarnya sudah lama dibincangkan namun tidak dapat direalisasikan akibat kekangan peruntukan serta beberapa masalah teknikal yang berlaku.
      
"Bagaimanapun dengan pembabitan kerajaan negeri dalam projek ini, kami mempunyai harapan yang tinggi bahawa  projek ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
   
"Namun, tidak adil jika saya seorang sahaja mengulas lanjut mengenai pembinaan ini memandangkan ia membabitkan projek usahasama dengan kerajaan negeri.
   
"Jadi eloklah jika kenyataan selanjutnya datang daripada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said," katanya.
   
Katanya ibu pejabat yang bakal diwujudkan itu mampu menampung kira-kira 1,000 anggota dan pegawai yang bertugas di IPK Terengganu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...