KUALA LUMPUR 1 Julai - Sekumpulan penjenayah bertindak nekad memecahkan empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya dan melarikan wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari keempat-empat mesin itu di Wangsa Maju di sini awal pagi ini.
Kumpulan yang dipercayai seramai lapan orang itu memecah masuk pintu pasar raya itu sebelum masuk ke ruang yang menempatkan enam unit mesin ATM di tingkat satu, kira-kira pukul 3 pagi.
Menurut seorang pengawal keselamatan di situ, rompakan itu langsung tidak disedari dua rakan setugasnya yang bekerja pada waktu malam namun rakaman awal kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka masuk dari tingkat bawah.
Pengawal keselamatan warga asing itu yang enggan dikenali berkata, kumpulan tersebut memakai pakaian hitam dan menutup muka masing-masing.
Katanya, mereka kemudian memecah satu pintu di belakang pasar raya dan naik menggunakan tangga serta terus menghala ke arah ruang yang menempatkan mesin ATM.
“Selepas itu, tindak-tanduk mereka langsung tidak dirakam kerana CCTV yang betul-betul di kawasan mesin terbabit telah dialihkan dipercayai seawal pukul 4 petang sebelum kejadian.
Sementara itu, pekerja kedai menjual jamu, Hajar Ahlil, 46, berkata, dia tidak perasan sebarang keganjilan sepanjang hari berniaga di situ semalam, walaupun kedainya itu terletak hanya beberapa meter dari ruang ATM terbabit.
“Saya tidak nampak sesiapa memusingkan CCTV itu petang semalam. Pagi ini barulah saya tahu ATM itu dirompak, itu pun setelah saya nampak ramai polis berada di kawasan ini," katanya sambil memberitahu pasar raya ini ditutup sekitar pukul 12 tengah malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai merancang rompakan itu dengan teliti dan kemungkinan ada di antara mereka merupakan pakar mengendalikan mesin tersebut.
“Daripada kesan pecah pada ATM itu kita mendapati kumpulan terbabit menggunakan alat pemotong besi dan gas Oxy-Acetylene untuk memotong bahagian depan mesin itu untuk mengambil wang tunai.
“Sebelum melakukan jenayah itu, mereka menutup dua daripada mesin itu dengan sejadah serta kertas bagi mengelak tindakan mereka dirakam CCTV pada mesin ATM itu.
“Dua lagi mesin tidak diusik, berkemungkinan penjenayah itu tidak sempat atau mesin itu tidak mempunyai wang tunai," jelasnya.
Tambah Othman, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan polis sedang menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan kejadian sama yang kerap berlaku sekitar Lembah Klang.
Difahamkan, ini merupakan rompakan ATM terbesar sejak tahun ini dan melibatkan kerugian yang paling banyak di ibu negara.