Selasa, 3 Julai 2012

Kediaman Rahim Thamby Chik dipecah masuk


Post Pic
KUALA LUMPUR 1 Julai - Banglo dua tingkat milik Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Rahim Thamby Chik di Jalan Medang, Taman Bukit Pantai di sini dipecah masuk penjenayah malam tadi.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan lebih daripada dua penjenayah ketika ketiadaan Rahim dan ahli keluarganya yang dikatakan sedang bercuti.

Bagaimanapun, ia disedari dua ahli keluarga Rahim yang pulang ke rumah itu kira-kira pukul 9 malam.

Suspek dikatakan memotong kawat besi sebelum memanjat pagar di belakang banglo itu dan memotong pula jeriji besi di tingkap dapur untuk memasuki kediaman tersebut.

Difahamkan, suspek hanya sempat memasuki dua bilik termasuk bilik utama di banglo itu dan salah satu pintu bilik itu telah diumpil kerana dikunci dari dalam.

Malah, kejadian juga dikatakan berlaku dalam tempoh 10 minit sahaja. Penjenayah sempat melarikan beberapa barang berharga termasuk sepucuk pistol jenis Baretta berisi peluru yang disimpan dalam salah sebuah bilik berkenaan.

Penjenayah itu disyaki warga tempatan dan mereka turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kediaman itu.

Ini merupakan kali kedua banglo itu disamun sejak kejadian pertama pada tahun 2006.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan sedang dilakukan.

"Suspek telah menggeledah bilik utama dan mengambil sepucuk pistol, komputer peribadi dan dan barangan peribadi milik isteri Rahim," katanya yang tidak memaklumkan nilai kerugian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...