Rabu, 18 Julai 2012

Kes curi makin berleluasa


Kes curi makin berleluasa 

Sanusi terpaksa membaiki motosikal yang sudah lama tidak digunakan, 
agar dia dapat menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah.
PASIR MAS – Seorang petani di Kampung Aur China, terpaksa membaik pulih motosikal lama, selepas motosikal barunya, dicuri empat hari lalu.

Petani, Sanusi Azmi Mustafa, 32, berkata, motosikal ‘Honda EX5 Dream’, yang baru sahaja dibeli hujung tahun lalu, dipercayai dicuri pada jam 4 pagi.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia keluar selepas solat Isyak, untuk membajak bendang yang terletak beberapa kilometer daripada rumah.

Sanusi berkata, risau dengan kes kecurian yang berlaku di kampung itu, dia memastikan motosikalnya dikunci dengan betul. “Selepas pulang membajak, dalam lingkungan jam 1 pagi, saya dapati motosikal masih lagi diparkir di tepi rumah saya. Seperti biasa, saya akan keluar untuk membeli makanan selepas solat subuh, namun dapati motosikal saya hilang,” katanya, semalam.

Menurutnya, jiran ada mendengar bising di luar, seperti bunyi motosikal baru dihidupkan, beberapa jam sebelum subuh. Namun, jirannya tidak mengesyaki sebarang kejanggalan, kerana banyak motosikal melalui kawasan ini, tanpa mengira waktu.

Sanusi berkata, ini merupakan kejadian kedua yang berlaku di kampung ini, dalam tempoh sebulan. “Bukan setakat motosikal, tetapi tong gas, kereta dan banyak lagi turut menjadi habuan pencuri di kawasan ini. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kerugian ribuan ringgit, malah saya juga menghadapi kesulitan kerana motosikal itu, digunakan untuk menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah,” katanya, semalam.

Sanusi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas, Sabtu lalu, dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dengan segera. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...