KUALA LUMPUR 16 Julai - Mimos Bhd. (Mimos) akan memberi 'nafas baru' kepada Unit Perintah Kawalan Komunikasi dan Integrasi Komputer (C4I) yang diguna pakai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam sejak 10 tahun lalu.
Penambahbaikan oleh Mimos itu dilihat selari dengan peredaran masa dan berupaya memerangi jenayah melalui sistem aplikasi yang lebih mantap.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Lembah Klang menjadi projek perintis penambahbaikan itu dan sejumlah RM8 juta telah diperuntukan sejak tahun lalu untuk tujuan pembaharuan sistem C4I.
Katanya, penambahbaikan yang diselia oleh Mimos itu dijangka meliputi seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
"Kolaborasi dengan Mimos dalam pembangunan C41 yang lebih berkesan pula dilihat sangat signifikan kerana ia merupakan satu lagi titik-tolak pemantapan perkhidmatan polis ke arah mendekati sistem kepolisan bertaraf dunia.
"Beberapa komponen baru juga akan ditambah di dalam C4I termasuklah keupayaan sistem itu untuk memerangi jenayah, penambahan integrasi pangkalan data, pusat pencarian, sistem pengurusan krisis dan bencana serta kemudahan kamera video pada kereta peronda.," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mimos yang dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahab Abdullah di Mes Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, PDRM sendiri telah memohon peruntukan RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 untuk melaksanakan sistem C4I ke seluruh negara pada masa hadapan.
Pelaksanaan mengikut beberapa fasa itu turut membabitkan Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM300 juta yang dijangka bermula Januari hingga Disember tahun depan.