KUALA PILAH – Seorang kontraktor berputih mata apabila wang berjumlah RM110,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank dekat sini, disamun dua perompak di tempat letak kenderaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, Rabu lalu itu menyebabkan mangsa berumur 37 tahun, cedera di bahagian tangan kiri akibat bergelut dengan seorang suspek dipercayai menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, ketika kejadian, mangsa baru sahaja mengeluarkan wang dan mahu memasukkan semula wang itu ke dalam sebuah bank berdekatan.

Menurutnya, namun setibanya di tempat letak kenderaan berhadapan bangunan kosong, mangsa didatangi seorang lelaki berkulit gelap berumur 30-an sebelum bertindak merampas beg duit yang diletakkan di tepi tempat duduk hadapan.

"Selepas itu, mangsa yang cuba merampas semula beg berkenaan bergelut dengan suspek sehingga cedera di bahagian tangan kiri akibat dikelar senjata tajam disyaki pisau.

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan bersama seorang lagi lelaki yang menunggu di dalam kereta jenis Proton Iswara berwarna hijau. Selepas berjaya merampas beg itu, kedua-dua suspek memecut kereta menuju ke arah Tampin,” katanya ditemui Sinar Harian  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, semalam.

Jaafar berkata, mangsa dipercayai diekori dari bank sehingga ke tempat letak kenderaan yang agak jauh daripada orang ramai.

“Sejurus kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Selepas itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Melang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 kerana mendatangkan kecederaan ketika samun tanpa senjata api,” katanya.

Katanya, oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar bijak merancang pengeluaran wang dalam jumlah banyak dan tidak meletakkan barang berharga di dalam kenderaan yang mudah dilihat individu lain.