Sabtu, 14 Julai 2012

Polis Kuantan buru dua lelaki samun lori bawa tayar


KUANTAN - Seorang pemandu lori yang membawa tayar bukan sahaja kehilangan lori dan muatannya, tetapi juga 'diculik' dalam satu kejadian samun di kawasan Rehat dan Rawat Lepar Hilir, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian 4 pagi itu, pemandu terbabit yang sedang tidur di dalam lorinya terjaga selepas dikejutkan dua lelaki bersenjatakan pisau.

Tangan mangsa kemudian diikat sebelum dikurung di dalam but kereta suspek.

Suspek masing-masing memandu kereta dan lori tersebut, namun kereta itu rosak ketika tiba di Felda Bukit Kuantan, menyebabkan suspek meninggalkan kenderaan berkenaan di tepi jalan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri sebelum meminta pertolongan orang awam kira-kira pukul 8 pagi," katanya.

Polis yang menerima laporan kemudian bergegas ke tempat kejadian dan menemui 118 biji tayar dibuang di tempat kereta itu ditinggalkan, manakala baki 63 tayar lagi beserta lori lesap, katanya.

Mohd Jasmani berkata kerugian dianggar RM90,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...