SUNGAI BULOH: Kerajaan hari ini membebaskan 12 lagi individu yang sebelum ini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pembebasan itu dilakukan setelah kerajaan berpuas hati terhadap proses pemulihan yang dilalui semua 12 tahanan di Kem Kemunting itu.
"Selain itu kita yakin mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara," katanya selepas melakukan lawatan ke Penjara Sungai Puloh, di sini.
Dengan pembebasan itu, semua 15 individu sudah diberi pengampunan oleh kerajaan termasuk tiga yang dibebaskan penghujung Julai lalu.
Ia membabitkan lapan rakyat tempatan, tiga warga Indonesia, tiga warga Pakistan dan seorang warga Sri Lanka.