Sabtu, 18 Ogos 2012

4 negeri berstatus ‘panas’


PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan seramai 30,179 anggotanya di empat negeri berstatus ‘panas’ sepanjang Ops Selamat sempena musim perayaan Aidilfitri sehingga 26 Ogos ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jumlah besar itu membabitkan penugasan seramai 11,300 anggota di Selangor, diikuti 8,238 anggota di Johor, manakala 5,320 anggota di Pulau Pinang dan 4,821 anggota lagi di Kuala Lumpur.


Menurutnya, anggota polis berkenaan akan membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah terutama di kawasan berkepadatan tinggi yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan.



“Ops Selamat bukan saja menjurus kepada usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan maut pada musim perayaan, namun ia juga merangkumi pencegahan jenayah termasuk kes berkaitan keselamatan harta benda dan rumah kediaman.


“Penumpuan kepada usaha pencegahan jenayah khususnya berkaitan keselamatan harta benda dan rumah kediaman dibuat berikutan setiap tahun statistik menunjukkan kadar jenayah pecah rumah meningkat setiap kali musim perayaan,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Rumah Selamat dan menyerahkan lebih 2,000 borang balik kampung kepada 45 persatuan penduduk sekitar Selangor dan Kuala Lumpur di Taman Megah, Kelana Jaya, di sini, semalam.




Turut hadir, Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah, Datuk Wira Ayub Yaakob.


Mengenai kempen berkenaan, Hishammuddin berkata, satu saluran khusus disediakan kepada orang ramai yang pulang berhari raya di kampung untuk memaklumkan kepada pihak polis bagi membolehkan rondaan di kawasan perumahan dapat dilakukan.



“Melalui kempen ini, orang ramai boleh mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh diperoleh dari balai polis atau muat turun dari laman web PDRM.


“Selanjutnya, balai polis berhampiran kediaman akan merekod maklumat mereka sebelum melakukan rondaan sepanjang ketiadaan pemilik rumah,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...