Isnin, 20 Ogos 2012

Detik cemas bagi ibu dan bayi apabila kereta dilarikan


KEPALA BATAS -  Seorang ibu dan bayi lelaki berusia lima bulan ketakutan di malam raya apabila keretanya dilarikan oleh seorang pemuda berdekatan Kompleks Dato Kailan di sini, kelmarin.
   
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa Nurul Izzah Khalid, 26, berkata, suaminya Musyrif Abu Bakar, 29, menghentikan kereta di simpang jalan berdekatan kompleks berkenaan untuk membeli ubat untuk anaknya di farmasi.
   
"Kejadian itu berlaku dengan pantas. Suami saya keluar dari kereta dan belum sempat saya nak menekan punat kunci pintu itu, seorang lelaki naik dan tekan
minyak," katanya ketika menceritakan saat-saat cemas ketika kejadian itu.

Nurul Izzah berkata, pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu naik marah apabila dia mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi suaminya, serta
mengugut untuk membunuh dia dan bayinya jika tidak memberi telefon itu kepadanya.
   
"Selama 10 minit berada dalam kereta itu, saya kata ambil sahaja kereta ini dan merayu supaya tidak mencederakan saya dan bayi. Dia terus berhenti dan menolak saya keluar, kira-kira 500m dari tempat kejadian" katanya di sini, semalam.
   
Beliau, yang bekerja sebagai pembantu pegawai teknik di Telekom Malaysia (TM) Seberang Perai, berkata anaknya Muhammad Qayyum selamat kerana berada dalam dakapannya ketika ditolak keluar dan pemuda itu melarikan keretanya jenis Proton Persona dengan nombor pendaftaran PKB 8386.
   
Katanya, wang tunai sebanyak RM200 dan semua barang keperluan untuk menyambut Aidilfitri yang disimpan dalam kereta itu turut dilarikan.
   
Nurul Izzah, yang juga adik kepada Ketua Biro Bernama Perak, Muna Khalid, tidak menyangka kejadian sebegini berlaku ketika orang ramai sedang sibuk dengan persiapan raya.
   
Katanya, sejurus selepas kejadian itu, suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...