Isnin, 20 Ogos 2012

Dua warga Myanmar mati bergaduh


KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh selepas kedua-duanya terbabit dalam pergaduhan dalam dua kejadian berasingan, di sini, malam kelmarin.

alam kejadian pertama pada jam 8.15 malam kelmarin, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher di sebuah kafe siber di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.

Difahamkan, mangsa, Pa Ram Nana, 27, dikelar di leher selepas bergaduh dengan seorang rakannya akibat hutang di kafe siber itu.

Menurut sumber, berdasarkan kesan darah di jalan raya, mangsa yang berlumuran darah dipercayai berlari ke kafe siber untuk menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa ditemui dalam berpakaian lengkap selain dikehendaki polis berhubung kes dadah,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di Taman Midah, Cheras pada jam 11.40 malam, satu lagi mayat lelaki warga Myanmar ditemui telentang di sebuah rumah teres dipercayai dibunuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, mangsa berusia 20 tahun dikatakan bergaduh dengan dua rakannya sebiliknya.

“Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di dada kiri mangsa manakala tangan kiri luka selain beberapa kesan lebam pada badan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dua rakan mangsa yang berusia 30 dan 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian itu berdasarkan kesan tompokan darah yang terdapat pada baju kedua-dua suspek.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...