Selasa, 21 Ogos 2012

Kenderaan MBPJ diserang


Kenderaan MBPJ diserang
PETALING JAYA - Dua kejadian serangan ke atas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berlaku  sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaannya, Mohd Fauzi Maarop berkata, serangan pertama berlaku pada 30 Julai lalu membabitkan van membawa anggota penguatkuasa.

Menurutnya, ketika kejadian anggotanya baru sahaja selesai menjalankan operasi tred dan halangan di Kampung Sungai Kayu Ara.

“Kita mengenakan tindakan sitaan ke atas sebuah bengkel kerana beroperasi tanpa lesen, ketika dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat melalui Lebuhraya Sprint seorang penunggang motosikal membaling seketul batu di cermin belakang van,” katanya

Kejadian itu menurutnya, menyebabkan keseluruhan cermin kenderaan berkenaan pecah, namun tiada anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang mengalami kecederaan.

Manakala kejadian kedua pada 12 Ogos lalu, kereta Waja dinaikki pegawai MBPJ dibaling seketul batu selepas melakukan sitaan terhadap penjaja tidak berlesen sekitar Pasar Pagi Taman Medan.

“Penyerangnya juga adalah seorang lelaki yang menunggang motosikal yang bertindak seketul batu di bahagian pintu belakang sebelah pemandu dan menyebabkan pintu itu kemek,” katanya.

Susulan itu, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian masih dalam siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...