IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri menerima 36 kes kebakaran membabitkan kenderaan yang berlaku secara ‘mengejut’ di sekitar negeri ini.
Kebakaran kereta yang berlaku secara ‘misteri’ itu dikatakan terjadi hampir setiap hari terutamanya sejak awal Ramadan lalu.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Yahaya Madis berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan sama ada kebakaran itu berpunca dari perbuatan khianat, masalah teknikal atau faktor lain.
“Tahun ini banyak kes direkodkan membabitkan kebakaran kenderaan sepanjang Ramadan ini berbanding tahun sebelumnya dan antara kenderaan yang terbabit termasuklah motosikal, kereta dan lori.
“Justeru, masih mengkaji kenapa banyak kejadian kebakaran kenderaan berlaku ketika bulan puasa.
Terdahulu, Yahaya menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Gred KB26 dan Penyerahan Kuih Raya di Balai Bomba dan Penyelamat Negeri di sini.
Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, hampir 80 peratus anggota membabitkan 1,200 anggota jabatan itu akan bertugas sepanjang kempen keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri ini.
Menurutnya, pihaknya menumpukan beberapa laluan penting di seluruh negeri selain menempatkan pos kawalan bomba di empat susur keluar tol iaitu di Tapah, Slim River, Kuala Kangsar dan Kamunting.
Setiap pos kawalan akan disediakan kereta bomba bertangki air, motosikal bomba dan kenderaan penyeamat bagi bersiap sedia memberi bantuan segera kepada mangsa kemalangan.
“Selain itu, kami juga sudah membuat pemeriksaan bangunan di kawasan tumpuan awam termasuk pasar raya dan kemudahan awam lain bagi memastikan ia selamat di kunjungi,” katanya.