Chong menunjukkan kesan umpil yang dilakukan penjenayah untuk memasuki premisnya |
IPOH - Kaedah umpil dikesan sebagai kaedah yang digunakan sekumpulan penjenayah untuk memecah masuk ke dalam empat kedai di Persiaran Bercham Selatan 2, di sini, sekitar jam 1 hingga 6 pagi semalam.
Sebanyak tiga daripada empat premis kedai yang menjadi sasaran kumpulan penjenayah terbabit adalah salun kecantikan dan satu kedai langsir.
Seorang mangsa, iaitu pemilik sebuah kedai salun yang hanya ingin dikenali sebagai Chong, 40 berkata, dia hanya menyedari salunnya dimasuki penjenayah daripada
seorang rakan yang melihat pintu premisnya terbuka.
"Peniaga kedai langsir berhampiran juga dimasuki penjenayah dan pemiliknya mengalami kerugian sebanyak RM2,000," katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Chong, pada awalnya dia menyangka hanya kedai miliknya sahaja menjadi sasaran, namun terdapat tiga peniaga berhampiran mengalami nasib sama apabila kedai masing-masing di pecah masuk menggunakan kaedah sama.
Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga Bercham, Tan Swee Kong meminta polis menjalankan rondaan cegah jenayah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurutnya, kawasan terbabit disifatkan ‘kawasan panas’ oleh penduduk dan sentiasa menjadi sasaran penjenayah memandangkan persekitarannya yang sunyi dan gelap pada sebelah malam.
“Biasanya, penjenayah akan melakukan aktiviti pecah masuk pada lewat malam dan awal pagi memandangkan pada waktu itu penduduk di sekitar sedang nyenyak tidur.
“Justeru, saya berharap polis dapat bekerjasama dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin dengan menjalankan rondaan lebih kerap terutamanya pada waktu malam dan awal pagi,” katanya.