Sabtu, 4 Ogos 2012

Ketua Polis P.Pinang Gesa Anggota Ubah Cara Kerja


GEORGE TOWN, 3 Ogos (Bernama) -- Ketua Polis Pulau Pinang yang baru, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata beliau mahukan anggota polis berubah dalam menjalankan tugas dengan menjadi orang yang lebih prihatin terhadap kehendak masyarakat.

Beliau berkata, cara bekerja anggota polis perlu berubah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seterusnya memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal menjadi agensi relevan dalam menjaga keharmonian rakyat.

"Saya menggesa setiap anggota bersikap telus dan lebih fokus terutama ketika melaksanakan tugas dalaman termasuk meningkatkan kualiti penyediaan kertas siasatan, membuat klasifikasi kes secara menyeluruh berdasarkan laporan yang diterima, bertindak lebih efisien dan mengamalkan semangat kerja berpasukan," katanya.

Abd Rahim berkata anggota polis harus mempunyai intigriti tinggi supaya imej polis juga turut dipandang tinggi oleh rakyat semua.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis serah dan terima tugas Ketua Polis Pinang di sini Jumaat.

Abd Rahim memulakan tugas sebagai Ketua Polis negeri hari ini menggantikan Datuk Wira Ayub Yaakob yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman, khusus dalam menangani isu keselamatan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...