Sabtu, 11 Ogos 2012

Ops Selamat dilancar


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Ops Sikap yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2001 berubah wajah dengan pendekatan yang lebih baik apabila pasukan itu melancarkan Ops Selamat esok.

Sebelum itu, Ops Sikap dikenali sebagai Ops Statik dan Ops Pacak. Pelancaran Ops Selamat akan disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Dataran Shah Alam, Selangor.

Selain mengurangkan kadar kemalangan maut serta jumlah kematian pada musim perayaan ini, Ops Selamat juga merangkumi pencegahan jenayah termasuk kes-kes berkaitan harta benda serta jenayah jalanan.

Ops Selamat yang diberi suntikan lebih segar untuk memantapkan operasi PDRM di musim perayaan adalah selari dengan permintaan orang ramai yang mahukan kehadiran polis di kawasan perumahan semasa penghuninya balik kampung.

Sementara itu, Ismail ketika ditemui pada program pembungkusan kuih raya PDRM di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini berkata, Ops Selamat akan diberikan pembaharuan dalam usaha menangani korban jalan raya ketika musim perayaan.

"Polis akan melakukan beberapa pembaharuan dalam penugasan anggotanya, ini termasuk untuk mengurangkan kejadian jenayah ketika sambutan Aidilfitri.
"Kita akan fikirkan bagaimana untuk kurangkan jenayah pada musim perayaan ini supaya orang ramai dapat balik kampung dengan perasaan selamat dan tidak perlu bimbang dengan kejadian jenayah," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 4,700 bungkusan mengandungi kuih raya dan kain pelekat disediakan oleh 200 anggota Persatuan Keluarga Polis (Perkep) untuk disampaikan kepada anggota polis yang bertugas pada Aidilfitri dan selebihnya di luar negara.

Ops Sikap Ke-24 yang berlangsung sempena Aidilfitri tahun lalu dikatakan antara yang terburuk selain dianggap gagal kerana penguatkuasaan dilakukan secara tidak menyeluruh dan tegas.

Ketika itu, PDRM menggunakan pendekatan advokasi mendidik orang ramai agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya tetapi gagal mencapai matlamatnya apabila 18.8 peratus kemalangan maut dicatatkan serta kematian meningkat kepada 16.5 peratus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...