KUALA LUMPUR - Sebuah longkang besar bertangga didakwa memudahkan penjenayah memecah masuk perumahan di Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong dekat sini.
Faktor itu menyebabkan penduduk di situ diselubungi kebimbangan berikutan kekerapan cubaan memecah masuk kediaman malah, bertindak lebih berani dengan menyamun mangsa ketika menggunakan lorong pejalan kaki ke platform 2 stesen komuter Taman Bukit Maluri.
Beberapa penduduk yang ditemui mahu sesuatu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu berkenaan yang disifatkan terlalu kritikal.
Penduduk, Ti Thing Lai, 42, berkata, rumahnya pernah dipecah masuk tahun lalu dan tahun ini hampir lima kali tindakan sama cuba dilakukan penjenayah.
“Penjenayah memanjat masuk melalui tembok rumah dan sering mengumpil besi jeriji tingkap untuk masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian berikutan barang berharga dilarikan selain terpaksa mengeluarkan kos membaik pulih besi dan jeriji tingkap rosak.
Menceritakan pengalaman sama, ibu kepada kepada tiga anak Loo Yoke Moi, 37, berkata, dia sekeluarga kini hidup dalam ketakutan selepas enam kali insiden cubaan pecah ke rumahnya berlaku.
“Rumah saya pernah dipecah masuk pada 2010. Ketika itu saya sekeluarga tiada di rumah dan kejadian itu menyebabkan saya tidak berani untuk melepas anak bermain di luar rumah,” katanya.
Menurutnya, aduan sudah banyak kali dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pondok menunggu ke stesen komuter bersebelahan rumahnya diminta dialihkan ke tempat lain supaya tidak menjadi tempat melepak orang luar.
Tan Jen, 64, pula berkata dia bernasib, penjenayah lapan kali gagal untuk masuk ke rumah kerana kejadian disedari awal.
“Semua kejadian berlaku pada waktu malam mereka panjat masuk namun saya sempat menjerit dan ke semuanya melarikan diri,” katanya.
Penyelaras BN Kepong Lau Hoi Keong berkata pihaknya kini sedang berurusan dengan polis untuk menganjurkan sesi dialog di kawasan itu.
“Apa yang saya diberitahu penduduk juga akan menyerahkan memorandum kepada DBKL agar pondok menunggu yang ada berhampiran rumah penduduk dialihkan malah penduduk juga mahu tangga menuruni longkang besar ini dibuka,” katanya
Difahamkan hasil perbincangan yang dibuat, DBKL bersetuju untuk membina halangan supaya kenderaan tidak dapat memasuki kawasan lorong pejalan kaki bagi memudahkan penjenayah menjalankan aktivitinya.
Sementara itu, Pengurus KTMB Wilayah Tengah Md Rusli Md Nor berkata, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya untuk tindakan lanjut dan KTMB akan memberikan kerjasama penuh bagi menangani isu terbabit