KUALA LUMPUR - Sebuah longkang besar bertangga didakwa memudahkan penjenayah memecah masuk perumahan di Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong dekat sini.
Faktor itu menyebabkan penduduk di situ diselubungi kebimbangan berikutan kekerapan cubaan memecah masuk kediaman malah, bertindak lebih berani dengan menyamun mangsa ketika menggunakan lorong pejalan kaki ke platform 2 stesen komuter Taman Bukit Maluri.
Beberapa penduduk yang ditemui mahu sesuatu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu berkenaan yang disifatkan terlalu kritikal.
Penduduk, Ti Thing Lai, 42, berkata, rumahnya pernah dipecah masuk tahun lalu dan tahun ini hampir lima kali tindakan sama cuba dilakukan penjenayah.
“Penjenayah memanjat masuk melalui tembok rumah dan sering mengumpil besi jeriji tingkap untuk masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui.