Rabu, 26 September 2012

Ahli Perniagaan disamun berhampiran plaza tol

Keluar Wang RM50,000 Kemudian Tayar Pancit & Selepas Itu Disamun.


BUTTERWORTH: Seorang ahli perniagaan kerugian lebih RM50,000 selepas disamun sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang berhampiran plaza tol Jalan Siram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini pada petang Isnin. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kejadian samun oleh lapan lelaki itu berlaku pada pukul 3.45 petang Isnin.
Katanya, ketika kejadian, mangsa (lelaki) bersama tiga rakannya termasuk seorang wanita dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Seberang Jaya, di sini.
Menurut beliau lagi, ketika kejadian itu, mangsa yang berusia 46 tahun dan memandu kereta jenis Mercedes Benz terpaksa menghentikan keretanya di tepi jalan selepas plaza tol berkenaan setelah mendapati sesuatu tidak kena pada tayar keretanya.
"Mangsa keluar dari keretanya dan mendapati satu daripada tayar kenderaannya pancit dan cuba menukarnya dengan bantuan rakan-rakannya yang lain," katanya.
Abdul Rahman berkata, kemudian secara tiba-tiba mangsa didatangi lapan lelaki yang menaiki dua buah kenderaan yang kemudiannya mengarahkan mangsa menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan.
Katanya, mangsa menyerahkan wang berkenaan kepada lapan lelaki bersenjatakan parang itu yang kesemuanya dipercayai berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana bimbang dicederakan.
"Selepas memperoleh wang sebanyak RM50,000 itu, kumpulan berkenaan meninggalkan tempat kejadian dan tidak mencederakan sesiapa," katanya.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa diekori kumpulan berkenaan dari bank. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...