KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti dua suspek yang terlibat menetak seorang pengawal keselamatan sebelum menyamun sebuah pasar raya di Lebuhraya Bukit Jalil, di sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata kedua-dua suspek berumur 23 dan 27 tahun itu dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup di pasar raya itu.
"Mangsa telah keluar daripada Hospital Serdang dan kita kini sedang memburu kedua-dua suspek," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Selasa.
Seorang saksi, Mahathir Mohd Ibrahim, 21, pembantu stor pasar raya berkenaan, berkata semasa kejadian beliau sedang mengemas barang di dalam stor sebelum terdengar bunyi bising dari dalam premis.
"Saya keluar dari stor lihat pengawal keselamatan itu ditetak dan dipukul sebelum dua lelaki mengambil wang di bahagian kaunter juruwang dan melarikan diri," katanya.
Sementara itu, juruwang premis tersebut, Hazifa Kamsari, 25, yang sempat menyelamatkan diri, berkata suspek yang melindungi muka dengan memakai topi melarikan wang tunai kira-kira RM 1,500.
"Ketika kejadian terdapat kira-kira lima orang pelanggan dan semuanya lari menyelamatkan diri," katanya menambah premis itu beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam. BERNAMA