SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri mempertikai kredibiliti dan tanggungjawab polis dalam usaha menangani masalah lambakan judi siber di negeri ini.
Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, pihaknya mempunyai maklumat terdapat banyak premis judi haram masih beroperasi dan ada yang bakal dibuka dalam tempoh masa terdekat.
“Berdasarkan pemerhatian dan aduan diterima, kita mendapati sebanyak 20 pusat judi siber haram beroperasi di Seremban Jaya, di sini.
“Bagitu juga di Simpang Pertang, Jelebu terdapat sembilan premis dan kita turut menerima maklumat bahawa terdapat 12 premis akan dibuka dalam tempoh terdekat.
Hadir sama, Exco AMK Pusat, Ramlan Roes dan Exco AMK negeri, Sanjeevan.
Mohd Nazree berkata, lambakan premis judi haram tersebut dikhuatiri akan merosakkan akhlak generasi muda kini.
“Kita ingin persoalkan tanggungjawab polis dalam menangani masalah ini kerana masih terdapat banyak premis judi haram beroperasi.
“Saya percaya mungkin berlaku kebocoran maklumat di peringkat bawahan sehingga polis gagal menangani masalah ini. Namun, usaha giat perlu dilakukan segera agar ia tidak menjadi barah,”katanya.
Sehubungan itu juga, katanya, AMK sedia menjalin kerjasama dengan polis dalam menangani masalah lambakan premis judi haram di negeri ini.
"Kita bersedia berkongsi maklumat dengan polis. Kita sedang mengatur pertemuan dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh pada Oktober ini, dengan niat untuk membanteras masalah judi haram dan menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap gejala ini,” katanya.