Isnin, 10 September 2012

Berhati-hati penyeluk saku


penyeluk saku
MACHANG - Orang ramai diminta tidak terlalu ghairah membeli-belah dengan mengabaikan aspek keselamatan serta berhati-hati dengan penyeluk saku terutamanya  di pasar pagi atau pasar malam, di sini.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Negeri, Yeo Soo Peng berkata, biarpun tidak ketara, namun ada penyeluk saku yang cuba mengambil kesempatan dalam kesibukan orang ramai dan peniaga berjual beli.

Katanya, orang ramai diminta menjaga beg tangan dan beg duit mereka dengan baik serta tidak mendedahkannya kepada penjenayah.

“Dua minggu lalu, satu dompet ditemui berdekatan kedai gambar yang mempunyai buku bank serta kad pengenalan pemiliknya.

“Beg tersebut diserahkan kepada saya oleh pemilik kedai tersebut.

“Bagi membantu mangsa, kami berusaha mencari rumahnya berdasarkan alamat pada kad pengenalan dan dia berjaya ditemui,” katanya, kelmarin.

Soo Peng berkata, menurut pemilik beg tersebut, dia menyedari kehilangan dompet itu ketika pulang dari Pasar Isnin.

“Menurut pemilik, dompet itu diletakkan di dalam beg sandang dan mereka tidak menyedarinya sehingga pulang ke rumah.

“Wang kira-kira RM200 yang ada di dalam dompet itu hilang.

“Saya berharap, orang ramai berhati-hati ketika keluar membeli belah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini dan pastikan beg tangan sentiasa tertutup dan tidak mudah dibuka oleh penjenayah.

“Bagi lelaki, saya sarankan dompet diletakkan di poket hadapan ketika ke tempat yang sesak bagi mengelakkan kejadian ini,” katanya.

Soo Peng berkata, orang ramai perlu bekerjasama dalam menangani jenayah di kawasan masing-masing dan tidak hanya menuding jari kepada pihak polis semata-mata.

Katanya, kerjasama orang ramai termasuk menjaga harta benda mampu mengurangkan kadar jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...