YAN 25 Sept. - Seorang janda cedera parah akibat disembelih dengan parang oleh seorang lelaki yang dipercayai dikenali mangsa di rumahnya di Kampung Teroi, Jalan Bukit di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah kerana adiknya, Habsah Ali, 52, menghantar dua anaknya ke sekolah.
Suami Habsah, Shamsuri Osman, 41, pula keluar bekerja.
Kejadian yang menimpa Jamaliah hanya disedari kira-kira 10 minit kemudian oleh ibu saudaranya, Rohani Omar, 54, apabila mangsa menggoncang pintu depan rumah Rohani yang terletak 30 meter dari rumah mangsa.
Jamaliah ketika itu memang tidak dapat bersuara dan menekup luka di lehernya dengan tangan.
Semasa dia angkat tangan daripada leher dan minta dihantar ke hospital saya nampak luka di lehernya. Saya meminta pertolongan jiran untuk membawa Jamaliah ke hospital," katanya ketika ditemui di Kampung Teroi di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di bilik air rumahnya untuk memandikan bapanya yang uzur.
Jamaliah yang saya kenal merupakan seorang pendiam, baik dan jarang keluar rumah jadi saya rasa dia memang tidak mempunyai musuh.
Kalau orang yang mencederakan Jamaliah itu nak merompak dia, Jamaliah tiada harta, barang kemas pun dia tak simpan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Ismail Abu berkata, mangsa dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dalam keadaan stabil.
Luka di leher mangsa sedalam lapan sentimeter dan mangsa mungkin kenal penjenayah kerana dia ada menyebut nama seseorang sebelum tidak sedarkan diri.
Pihak polis masih menunggu mangsa untuk sedar bagi mengambil keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.