Gambar hiasan |
PETALING JAYA 26 Sept. - Seorang pengawal keselamatan maut ditembak seorang daripada tiga lelaki yang merompak sebuah kedai emas dalam tempoh tidak sampai dua minit di Jalan Othman, di sini hari ini.
Mangsa, P. Krishnan, 44, terbunuh dalam rompakan nekad tiga penjenayah itu yang difahamkan melarikan sejumlah barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Rompakan berlaku kira-kira pukul 3.50 petang ketika mangsa bertugas mengawal di hadapan kedai emas berkenaan sebelum tiga lelaki memakai topi keledar tiba-tiba muncul.
"Mangsa tidak sempat mengeluarkan pistolnya dan terkena tembakan di dada menyebabkan dia mengalami kecederaan parah. Dia yang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang.
"Dua daripada suspek yang bersenjatakan kapak bertindak memecahkan cermin kedai sebelum mengambil sejumlah barang kemas dan melarikan diri menaiki dua buah motosikal," katanya di sini hari ini.
Menurut Arjunaidi, ketika kejadian tiada pelanggan berada di kedai itu manakala suspek dikesan meninggalkan motosikal yang digunakan mereka kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian iaitu di Jalan Carrey.
"Polis percaya mereka melarikan dengan menaiki kenderaan lain dan kami turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian serta sebilah kapak di atas motosikal yang ditinggalkan suspek," katanya yang tidak menolak kemungkinan motosikal itu dicuri.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.