KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kerajaan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat jenayah penyaluran dana asing yang boleh mengganggu keselamatan negara, kata Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.
"Penyaluran dana asing secara haram kepada golongan yang secara terang-terangan terlibat dalam gerakan antikerajaan adalah satu ancaman ke atas keselamatan negara kita.
"Ini bukan isu politik tapi isu keselamatan negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Beliau menegaskan penyaluran dana asing ini adalah satu gerakan subversif moden kerana terbukti menyebabkan huru-hara dan keruntuhan beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika.
Zahrain mendakwa wujud pertubuhan subversif yang berselindung di sebalik hak asasi manusia atau kebebasan yang diusir keluar dari Mesir dan Rusia.
"Kita tidak perlu menunggu sehingga nasi menjadi bubur seperti di Mesir atau sehingga jalan raya kita dipenuhi rakyat yang diperdaya kuasa asing.
"Saya ingin mendesak agar Bank Negara menjelaskan status sebenar kes-kes penyaluran dana asing secara haram ke dalam negara ini," katanya. - BERNAMA