Sabtu, 8 September 2012

PDRM perjelas dakwaan Perkasa


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menahan serta-merta peserta Himpunan Janji Bersih yang menghina gambar pemimpin dan menukar Jalur Gemilang pada malam 30 Ogos lalu bagi mengelak berlaku kekecohan yang lebih serius.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis tidak bertindak agresif pada malam itu bagi membolehkan sambutan ambang kemerdekaan yang diraikan semua lapisan masyarakat berjalan dengan lancar.

Katanya, pihaknya mengenal pasti mereka bertanggungjawab melakukan kesalahan pada malam itu tetapi mempunyai sebab untuk tidak menahan mereka pada malam itu.

"PDRM sentiasa memantau dan mengumpul maklumat serta bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan yang berlaku. Untuk itu, kita menempatkan pegawai dan anggota yang bertugas secukupnya.

"Mereka yang terlibat dalam insiden itu dikenal pasti, namun PDRM tidak melakukan penahanan serta-merta bagi mengelakkan sebarang ketegangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini yang mendakwa, polis gagal menahan segera pihak bertanggungjawab menghina Jalur Gemilang serta memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada malam tersebut.

Perkasa turut mahukan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penangkapan bagi kes seumpamanya.

Ramli berkata, SOP tangkapan adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti yang terkandung dalam Kanun Tatacara Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

"Perlu ditegaskan, PDRM sentiasa bertindak dengan penuh berhemah berpaksikan kepada prinsip yang diguna pakai iaitu ketelusan dan keadilan semula jadi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...