Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berharap penurunan kadar kemalangan jalan raya pada musim Aidilfitri lalu dapat dikekalkan dan terus berkurangan ketika perayaan lain.
Beliau berkata, statistik kemalangan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini menunjukkan segala kempen dan program kesedaran yang dilaksanakan berjaya.
"Strategi itu (kempen dan majlis penerangan), yang dijalankan selama ini, kini mula menyedarkan pengguna jalan raya terhadap kepentingan aspek keselamatan termasuk nyawa pengguna.
"Selain itu, pendedahan awal terhadap aspek keselamatan jalan raya kepada pelajar di peringkat sekolah rendah juga dilihat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan sepanjang Op Selamat lalu," katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2012 di Dewan Kebudayaan Cina, Kampung Datuk Seri Kamaruddin dekat sini, hari ini.
Sebanyak 226 kes kemalangan maut dengan 243 kematian direkod sepanjang Op Selamat berbanding 259 kes (kemalangan maut) dan 289 kematian pada Ops Sikap 24 tahun lalu.
Op Selamat dilancar pada 12 Ogos dan berakhir 26 Ogos, dengan jumlah kemalangan mencatat penurunan sebanyak 8.5 peratus atau 1,669 kes berbanding 19,606 bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Kong berkata, sikap pengguna yang semakin membudayakan pemanduan berhemah turut memberi kesan positif sehingga berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Kita mahu penurunan kadar kemalangan serta kehilangan nyawa di jalan raya ini dapat dikekalkan malah terus berkurangan pada musim perayaan akan datang termasuk sambutan Hari Raya Haji, Deepavali dan Krismas.
"Justeru, pelbagai pendekatan yang sudah dan sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan akan terus dipergiat bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya," katanya.