Sabtu, 1 September 2012

Menyamar ‘Kakitangan TNB’ periksa pendawaian curi duit raya


REMBAU: Lagak dua lelaki menyamar kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membaiki sistem pendawaian elektrik memperdayakan seorang warga emas sebelum suspek mencuri wang milik mangsa di Kampung Nerambai, Lubok Cina, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Kamariah Derauh, 84, yang tinggal seorang diri didatangi dua lelaki yang memakai uniform berwarna biru dan meminta membaiki sistem pendawaian elektrik dalam rumahnya.


Menurutnya, dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk dan membenarkan kedua-dua lelaki itu memasuki rumahnya untuk melihat lebih dekat meter elektrik di ruang tamu.



“Mereka meminta kad pengenalan untuk menulis butiran diri saya sebagai rekod. Kemudian, seorang daripada lelaki itu meminta saya menunjukkan meter elektrik manakala seorang lagi memeriksa sistem pendawaian elektrik berhampiran tempat tidur saya yang mana beg duit disimpan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Kamariah berkata, selepas selesai memeriksa kira-kira 30 minit kedua-dua lelaki itu beredar sebelum dia berasa tidak sedap hati lalu memeriksa beg duit yang diletakkan di kabinet baju.



“Saya terkejut apabila mendapati duit raya RM450 yang disimpan dalam beg duit lesap. Saya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kota.




Menurutnya, empat tahun lalu barang kemasnya berjumlah RM6,000 dilarikan pencuri yang memecah masuk rumah dan tidak menyangka kejadian sama berulang cuma kali ini hanya wang tunai dicuri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...