Khamis, 6 September 2012

Pulangkan segera anak saya


Jun Han.
KUANTAN – “Setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, saya terlalu rindukan anak saya. Pulangkan anak saya!”
Begitulah rintihan seorang ibu yang kehilangan anaknya sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dibawa lari oleh kakak iparnya yang dikenali sebagai Yoke Ken yang tinggal di Ampang, Selangor.
Siew Lai Yee, 29, berkata, pada 17 Ogos lalu, anaknya Pan Jun Han, 6, dibawa bercuti oleh adik iparnya ke Genting Highlands bersama kakak iparnya itu.
Namun, ketika adik iparnya itu pulang ke Kuantan, dia memberitahu Lai Yee bahawa anaknya itu dibawa pulang ke Ampang bersama Yoke Ken untuk menghabiskan cuti sekolah di sana.
“Pada mulanya saya tidak kisah serta tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pun dia (Jun Han) sudah biasa tinggal bersama ibu saudaranya. Tetapi kali ini, lain pula jadinya. 
“Saya telah menghubungi kakak ipar supaya dia menghantar Jun Han pulang berikutan sesi persekolahan akan bermula, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan dia mahu menjaga anak saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.
Tambahnya, dia cuba untuk mencari anaknya di Ampang pada 28 Ogos lalu, namun apabila menghubungi kakak iparnya itu, dia memberitahu Jun Han bukan di bawah jagaannya lagi.
“Saya tidak tahu alamat tempat tinggal kakak ipar, yang saya tahu dia tinggal di Ampang. Bila dia memberitahu bahawa Jun Han sudah tiada di rumahnya, saya bertindak membuat laporan polis.
“Sudah banyak kali saya tanya di mana mereka sorokkan anak saya, namun tidak pernah mendapat kerjasama. Demi keselamatan anak saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.
Ibu kepada tiga anak ini berkata, sejak kehilangan Jun Han, dia tidak lena tidur serta tidak henti berusaha untuk mendapatkan semula anaknya itu.
“Anak saya seorang yang manja dan saya memang rapat dengannya. Sejak ayahnya terpaksa ditukarkan ke Australia atas tuntutan kerja empat bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan saya.
“Jadi, bila dia tidak ada, saya rasa sunyi kerana setiap malam saya tidur bersamanya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau pernah cuba menghubungi Yoke Ken, namun panggilannya itu dijawab dengan kasar.
“Dia (Yoke Ken) enggan memulangkan Jun Han apabila saya meminta dia berbuat demikian dan pernah memberitahu ingin menukar sekolah Jun Han di Ampang.
“Bagaimanpun, kami tidak pasti di mana Jun Han berada sekarang. Justeru, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kanak-kanak ini menghubungi talian 09-5138300,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...