Sabtu, 29 September 2012

Rasuah: Pegawai polis dipenjara 3 tahun, denda RM35,000


TAIPING - Seorang anggota polis berpangkat C/Insp dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM7,000, empat tahun lepas.
Hakim Azuar Che Yusof memerintahkan Ng Wei Boon, 37, menjalani hukuman penjara mulai hari ini dan denda juga perlu dijelaskan hari ini, jika gagal tertuduh boleh dihukum penjara 10 bulan.
Tertuduh yang bertugas di Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping itu didapati bersalah iaitu secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM7,000 daripada Ang Boon Kok supaya tidak mengambil tindakan ke atas Chew Seng Kok yang dikatakan menjalankan kegiatan menjual nombor ekor haram.
Wei Boon didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta Gen 2 nombor pendaftaran PFY 8080 di seberang jalan hadapan sebuah kedai di Jalan Kampung Jambu 2 di sini pada 11.30 malam, 11 Jan 2008.
"Mahkamah mendapati pihak pembelaan tidak konsisten dalam hujah keterangan. Keterangan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan. Tertuduh bersalah dan disabit kesalahan,” kata Azuar semasa menyampaikan penghakimannya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...