Ahad, 30 September 2012

Kontraktor Penyelenggaraan Ditemui Mati Dengan Kesan Tetakan


KLANG: Seorang kontraktor penyelenggaraan ditemui mati dengan kesan cedera di kepala, dipercayai akibat ditetak senjata tajam, di rumahnya di Taman Teluk Gedung Indah, Pandamaran Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata mayat lelaki tempatan berumur 58 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik tidurnya kira-kira 8.20 pagi.
"Polis turut menemui kesan tompokan darah di bilik tidur si mati dan titisan darah di tangga rumah," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu disamun sebelum dibunuh kerana wang berjumlah RM2,500 yang disimpan mangsa dalam dompet hilang.
Mohamad berkata berdasarkan siasatan, mangsa bersendirian di rumah selepas anak lelakinya berumur 22 tahun, yang bekerja dengan kontraktor berkenaan, ke tempat kerja.
"Menurut anak mangsa, ayahnya selalu tidak mengunci pintu rumah ketika berada di rumah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...