Sabtu, 22 September 2012

Rompakan Nekad di kedai Emas


REKOD...polis mengambil keterangan mangsa.
GOMBAK: Dua wanita berdepan saat getir apabila kedai emas mereka disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan tukul, kapak dan sepucuk pistol sebelum melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Taman Sri Selayang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, dua wanita berusia 40-an dan 52 tahun terbabit sempat melarikan diri masuk ke bilik di belakang kedai sebaik melihat tiga suspek bersenjata itu.


Menurut anak pemilik kedai, M Rajesh, 37, ketika kejadian dia dan bapanya tiada di premis itu, namun mengikut apa diceritakan ibu serta kakak saudaranya, tiga lelaki bertopeng serta bersenjatakan tukul, kapak dan pistol memasuki kedai manakala seorang lagi menunggu dalam kereta Perodua Kancil.



“Ini kejadian pertama sejak kami memulakan perniagaan dua tahun lalu, mujur tiada pelanggan ketika kejadian dan ibu serta kakak saudara saya turut tidak dicederakan.


“Mereka kemudian bertindak memecahkan kaca dengan menggunakan tukul dan kapak, bagaimanapun mereka mengalami kesukaran memasukkan tangan untuk mencapai kebanyakan barang kemas kerana kami meletakkan jeriji besi di bawah lapisan kaca yang mereka pecahkan itu,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang semasa tiada pelanggan di kedai itu



“Hanya isteri serta anak saudara pemilik kedai berada di bahagian dalam dan sempat melarikan diri masuk ke bilik belakang kedai itu.


“Tiga suspek bertopeng terbabit hanya dapat melarikan barang kemas berjumlah kira-kira RM10,000 berikutan kehadiran orang awam yang ramai serta kesukaran mencapai barangan di bawah jeriji besi itu,” katanya.



Menurutnya, hasil semakan polis ke atas nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek palsu bagaimanapun pihaknya akan menyiasat dengan lebih lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...