Selasa, 23 Oktober 2012

Gudang beras dipecah masuk


Gudang beras dipecah masuk
PORT DICKSON – Sebuah gudang beras yang telah beroperasi hampir 12 tahun di sini, dipecah masuk penjenayah, semalam.

Selain itu, lori seberat 10 tan berisi muatan beras untuk diedarkan di sekitar negeri ini yang diletak di  gudang berkenaan turut dilarikan.

Kejadian disedari kira-kira 7 pagi oleh seorang pekerja yang terlihat pintu gudang terbuka sebelum mendapati sebuah lori yang sudah siap diisi muatan kira-kira 15,000 kilogram beras yang diletakkan di dalam gudang tersebut, telah hilang.

Pengurus gudang yang mahu dikenali sebagai Kang, 20-an, berkata, dia amat terkejut apabila salah seorang pekerja memaklumkan kejadian ini kepadanya.

“Saya terus bergegas ke gudang dan sebaik sahaja sampai, saya melihat kesan pecah masuk pada tingkap pejabat yang dipecahkan. Saya percaya penjenayah terbabit mengambil kunci lori yang diletakkan di dalam pejabat ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Kang bagaimanapun berkata, keadaan pejabat pada ketika itu dalam keadaan baik dan tidak berselerak.

Menurutnya, antara barangan yang turut dilarikan adalah  wang tunai sekitar RM1,000, selain set komputer, kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa palet beras.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Rantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Baharudin Mustafa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...