Selasa, 23 Oktober 2012

Menyamar wakil stesen TV


Menyamar wakil stesen TV
REMBAU – Seorang peniaga terpaksa menyerahkan wang tunai sebanyak RM250 selepas didatangi tiga lelaki yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat stesen televisyen berbayar.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin, mangsa, Azahar Abdullah, 47, didatangi dua lelaki ketika ingin menutup kedainya di Kendong, dekat sini sementara seorang lagi berada di dalam kereta jenis Perodua Viva.

Menurutnya, mereka berpura-pura sebagai wakil syarikat berkenaan dan menyatakan sekiranya dia tidak menukar pakej siaran dilangganinya, pihak syarikat tidak teragak-agak menamatkan perkhidmatan pada jam 8 malam.

"Lelaki itu turut menerangkan kepada saya bahawa alamat surat menyurat untuk perkhidmatan syarikat mereka tidak boleh menggunakan alamat premis kedai tetapi harus menggunakan alamat rumah," katanya.

Menurutnya, kerana percaya mereka benar-benar dari syarikat berkenaan, dia dan isteri, Norlina Abdul Malik, 34, terpaksa menyerahkan wang yang diminta.

Azahar berkata, sebaik wang diserahkan, lelaki berkenaan menyatakan akan ada pihak lain datang dalam tempoh 15 minit bagi menukarkan perkhidmatan sedia ada kepada pakej baru.

"Namun, sehingga 10.30 malam, seperti yang dijanjikan lelaki berkenaan tidak juga muncul," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya, dekat sini semalam.

Azahar berkata, lelaki terbabit bagaimanapun ada meninggalkan nombor telefon bimbit, namun ketika dihubungi, dia diminta untuk menunggu.

"Bagaimanapun, saya berasa tidak sedap hati kemungkinan ditipu dan terus membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan.

"Jika difikirkan kembali, jika saya enggan memberikan wang bagi menukar pakej itu, mungkin saya dan isteri diapa-apakan kerana ketiga-tiga lelaki itu sudah meninjau-ninjau keadaan kedai saya," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...