Selasa, 9 Oktober 2012

Kerap Keluar Masuk Sempadan Punca Mudahnya Penyeludupan Senjata Api


KUALA LUMPUR: Kekerapan keluar masuk, kesibukan lalu lintas serta interaksi ekonomi antara penduduk di pintu sempadan membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan, termasuk senjata api ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini merupakan antara faktor yang dikesan menyebabkan wujudnya jenayah bersenjata api di Malaysia.
"Bagi tempoh 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 202 kes samun bersenjata api telah dilaporkan manakala kes bunuh menggunakan senjata api pula adalah sebanyak 130 kes. "Bagi tempoh yang sama, sebanyak 435 kes rampasan senjata api telah berjaya dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil daripada operasi penguatkuasaan yang dijalankan dari semasa ke semasa," katanya semasa menjawab soalan Fong Ko Puan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata hubungan kekeluargaan dan faktor geografi seperti di Sungai Golok turut mewujudkan rangkaian yang mendorong kepada aktiviti penyeludupan.
Katanya, bagi menangani aktiviti itu, PDRM, Unit Pencegahan Penyeludupan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia serta agensi berkaitan sentiasa memperketatkan kawalan dari semasa ke semasa. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...