Penduduk terancam, mahu kawalan dipertingkat
KUBANG PASU - Rata-rata penduduk sekitar sebuah kampung di sini, berasa terancam dengan kewujudan sebuah pusat pemulihan dadah berdekatan kampung tersebut berikutan pelbagai kes didakwa berlaku sejak ia bertapak di situ.
Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Pasu, Shafizan Taib, berkata, seramai 44 penghuni menginap di dalam pusat pemulihan berkenaan dan kebanyakan mereka berkeliaran di dalam kampung pada waktu malam.
“Perkara itu menimbulkan keresahan kepada seluruh penduduk kampung kerana banyak kes sudah berlaku terutamanya kecurian yang berjaya ditangkap.
“Kes tersebut sepatutnya tidak berlaku jika kawalan keselamatan dan pengawasan dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, pengurusannya penghuni berkenaan diharap dapat dipertingkatkan memandangkan sebelum itu penduduk berjaya menangkap salah seorang daripada penghuni tersebut dan suspek mendakwa kebanyakan penghuni tidak mendapat makanan secukupnya.
“Setiap malam kawalan kampung itu beroperasi demi menjaga keselamatan. Penduduk mendapati kelibat mereka mencurigakan dan tindakan terpaksa diambil untuk menyelesaikan perkara itu.
“Hasil operasi tangkapan yang dibuat menimbulkan ketidakpuasan hati kalangan mereka sehingga bertindak menyekat serta membelasah seorang penduduk kampung,” katanya.
Shafizan berkata, tindakan tersebut mendatangkan kemarahan kepada penduduk kerana mereka memberitahu ia dilakukan adalah untuk membalas dendam.
“Oleh itu, saya memohon pihak terlibat memantau pusat pemulihan tersebut agar diselenggarakan dengan lebih sempurna untuk mengelakkan kejadian berulang,” katanya.
Sementara itu, mangsa, Wan Abdul Muhaimin Wan Halim, 22, berkata, setiap pagi kawasan itu menjadi laluan utamanya pergi bekerja sebagai pembantu jualan roti, namun pada hari kejadian dia disekat.
Menurutnya, dia terus diheret ke lokasi berhampiran stor kawasan pusat berkenaan dan kemudiannya dipukul oleh beberapa penghuni pusat tersebut tanpa menyoal apa-apa.
“Mereka bertindak memegang tangan saya, kemudian memukul saya sehingga terdapat kesan lebam di bahagian badan dan juga paha.
“Saya dipukul hinggalah tindakan itu disedari seorang penduduk kebetulan lalu kawasan itu dan menyuruh saya untuk pulang kerana dibelasah teruk oleh mereka,” katanya.
Wan Abdul Muhaimin berkata, penghuni itu kemudiannya memberi amaran akan membuat tindakan demikian kepada penduduk yang menangkap rakan mereka dan merencana misi membalas dendam kepada penduduk terlibat.
“Selepas itu, saya segera memaklumkan perkara itu kepada keluarga serta penduduk dan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.
Difahamkan, setiap seorang daripada penghuni tersebut dikenakan bayaran kepada ahli keluarga mereka sebanyak RM500 sebulan dan beberapa tahun lalu salah seorang daripada mereka mati di kawasan kampung berkenaan kerana ingin melarikan diri dari pusat terbabit.