Khamis, 25 Oktober 2012

Peniaga paut kereta dikelar penyamun


KUALA LUMPUR: Seorang peniaga berusia 31 tahun bukan saja ditikam beberapa kali di bahu, malah kedua-dua tangannya turut dikelar sekumpulan tiga lelaki ketika bergelut sebelum kenderaan Mitshubishi Triton miliknya dilarikan dalam kejadian di Taman Layang-Layang, Sentul, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berpaut pada pintu kenderaan miliknya itu sebaik kumpulan terbabit cuba melarikannya terpaksa melepaskan genggamannya selepas kedua-dua pergelangan tangannya dikelar seorang daripada suspek. Menurut sumber, kejadian bermula apabila lelaki terbabit berhenti di bahu jalan selepas dilanggar sebuah Toyota Harrier dari arah belakang sebelum didatangi tiga lelaki berusia lewat 20-an yang memaksanya menyerahkan kunci keretanya. 

Sumber berkata, sebaik memperoleh kunci kereta berkenaan, semua suspek terbabit cuba masuk ke dalam kenderaan itu. “Mangsa cuba memberkas seorang daripada suspek ketika penjenayah terbabit mahu masuk dalam kenderaan itu. “Tindakannya itu menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek mengarahkan rakannya memecut,” katanya. 

Sumber berkata, mangsa sempat berpaut pada pintu bahagian penumpang sebelah kiri kenderaan menyebabkannya diseret beberapa meter. Mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan akibat dikelar di kedua-dua pergelangan tangannya melepaskan genggamannya itu. Sumber berkata, mangsa yang terpelanting ke bahu jalan menghubungi ahli keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Selayang dan membuat laporan di Balai Polis Kepong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...