Khamis, 25 Oktober 2012

Samun: Surirumah rugi RM15,500


TELUK INTAN - Seorang isteri kepada ahli perniagaan bukan sahaja berdepan dengan detik mencemaskan malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,500 dalam satu kejadian samun dekat kawasan Bumbung Biru, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari, apabila mangsa berusia 28 tahun, baru sahaja menunaikan cek dengan sejumlah wang untuk urus niaga milik suaminya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, setelah cek ditunaikan di salah sebuah bank di Teluk Intan, mangsa telah menyerahkan sebahagian wang itu kepada rakan niaga suaminya di dalam premis tersebut sebanyak RM 17,000.

Menurutnya, baki wang berkenaan kemudiannya, dibawa pulang, namun sebelum pulang ke rumah, mangsa berhenti sebentar untuk mengambil anaknya di kedai milik ibunya di kawasan Bumbung Biru.

“Setelah anak-anaknya masuk di dalam kereta, secara tiba-tiba datang seorang lelaki membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg tangannya.

“Suspek mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai kira-kira RM15,000 sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Perodua MyVi berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera menelefon polis sebelum sekatan jalan bagi mengesan kereta yang digunakan oleh suspek dibuat di sekitar kawasan Hilir Perak.

Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya,  mangsa telah diekori sejak dalam bank sehingga ke kawasan Bumbung Biru sebelum insiden berlaku.

Katanya, polis juga percaya, kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan kejadian dan maklumat diterima yang kini sedang giat menjejaki suspek bagi bantu siasatan pihaknya.

Beliau turut menasihati kepada orang awam untuk lebih berhati-hati selepas mengeluarkan wang dalam jumlah banyak daripada bank selain memerhatikan kawasan sekeliling untuk pastikan keadaan selamat.

Tambah beliau, selain itu juga, orang awam dinasihati supaya terus pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang dan tidak berhenti di mana-mana tempat walaupun sekejap.

Jelasnya, kejadian seperti ini sering berlaku, apabila penjenayah menggunakan modus operandi sama dengan mengambil kesempatan di sebalik kelalaian mangsa.

“Pihak kami sedang menjejaki suspek bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...